PROTON Holdings Bhd berkata, pakatannya dengan Nissan Motor Company Ltd, akan mempercepatkan lagi pelancaran kereta generasi barunya yang bakal memenuhi segmen pasaran lebih meluas serta pelbagai, tempatan dan juga antarabangsa.
Menjelaskan mengenai perjanjian persefahaman (MoU) dimeterai pengeluar kereta nasional itu dengan syarikat automotif ketiga terbesar dunia berkenaan kelmarin, Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata berdasarkan kajian daya maju selama tiga bulan yang akan dilaksanakan susulan MoU itu, kenderaan generasi akan datang PROTON menerapkan teknologi terpilih dan kepakaran pembuatan Nissan.
"Kajian yang dipersetujui itu akan menumpukan hanya kepada perkongsian teknologi dan dalam meningkatkan daya saing global, strategi berkongsi teknologi kini menjadi sangat penting, dan adalah proses penjimatan kos bagi semua pengeluar kereta dunia.
“Ia akan mengurangkan kos dan masa bagi pembangunan produk baru serta menyediakan fleksibiliti dari segi pengeluaran pelbagai model menggunakan set komponen yang sama,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur semalam.
Syed Zainal menambah, kejayaan perkongsian antara pengeluar kenderaan, bukan saja hasil daripada pertukaran teknologi, kepakaran dan pengetahuan, tetapi juga dengan memanfaatkan perkongsian penggunaan kemudahan pengeluaran, pembekalan serta rangkaian pengedaran dan penjualan.
“(Menerusi langkah itu) ia akan mempercepatkan pelancaran kenderaan dan model generasi akan datang PROTON,” katanya.
Mengulas mengenai MOU PROTON-Nissan berkenaan, Penganalisis di Maybank Investment Bank Bhd (Maybank-IB), Wong Chew Hann berkata, ia berpotensi mewujudkan pakatan dalam pengeluaran kereta PROTON bagi pasaran kategori kenderaan kompak dan model bagi menggantikan Perdana.
“Rancangan dilihat menjurus kepada pembabitan Nissan dalam membantu PROTON membangunkan model kereta kompak yang memenuhi pasaran global, iaitu Emas (kategori kenderaan segmen A) yang dijangka akan dikeluarkan pada akhir 2012 atau awal 2013.
“Selain segmen A, desas-desus juga wujud mengaitkan Nissan Fuga akan digunakan sebagai pengganti model Perdana,” katanya.
Sementara itu, OSK Investment dalam nota kajiannya turut menyatakan keyakinan bahawa dengan menggunakan platfrom model Nissan yang pelbagai untuk pembangunan model baru PROTON seperti Emas, ia akan mengurangkan perbelanjaan modal pengeluar kereta nasional itu sekitar sekitar AS$150 juta hingga AS$200 juta,” katanya.