Friday, March 4, 2011

Saham Proton naik 0.56 peratus kerana kerjasama dengan Nissan

KUALA LUMPUR: Saham Proton Holdings Bhd meningkat, selepas turun 12.5 peratus selama dua hari, selepas syarikat itu menandatangani memorandum persefahaman dengan Nissan Motor Co Ltd bagi mengkaji potensi bidang kerjasama.

Sehingga jam 10.14 pagi, saham Proton meningkat 0.56 peratus atau 2.0 sen kepada RM3.60.
Kerjasama itu termasuk potensi penggunaan platform dan barisan pemasangan Nissan.

HwangDBS Vickers Research Sdn Bhd berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada inisiatif Proton mengembangkan segmen pasaran semasanya, dengan mensasarkan kebanyakannya segmen B dan C, yang merupakan kereta Proton Savvy 1.2 liter hingga Proton Perdana dan Proton Inspira 2.0 liter.

"Kami percaya kerjasama dengan Nissan boleh membawa maksud satu lagi "Inspira" seperti model yang ditukar nama bagi diperkenalkan di dalam tempoh jangka sederhana," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

HwangDBS berkata, langkah itu boleh diterima akal bagi membolehkan Proton mengembangkan segmen pasarannya dan melancarkan model baharu dengan perbelanjaan modal dan kemungkinan tempoh pembangunan lebih rendah, jika dilihat kebanyakan fokus dan pembiayaannya ditumpukan kepada pelan penstrukturan lima tahun Lotus Group. - BERNAMA