Thursday, January 27, 2011

Kerajaan tak akan paksa penggabungan Proton-Perodua



KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan memaksa penggabungan dua syarikat kereta nasional Malaysia, Proton Holdings Bhd (Proton) dan Perusahaan Otomobil Kedua Nasional Sdn Bhd (Perodua), kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya sebarang penyelesaian atau cadangan perlu dipersetujui oleh kedua-dua pemegang saham berkepentingan.

"Kita tidak boleh memaksa mereka membuat keputusan kerana terdapat satu spektrum yang panjang. Pada satu pihak, terdapat kerjasama longgar dan pada satu pihak lagi, satu penggabungan, yang masih belum diputuskan," katanya kepada pada pemberita pada majlis penandatanganan antara SME Corporation Malaysia dan SME Bank di sini hari ini.
Katanya kerajaan akan menggalakkan dan mengadakan perbincangan dengan kedua-dua syarikat.

Mustapa terlibat di dalam perbincangan secara individu dengan kedua-dua syarikat itu.

"Ia adalah kerjasama utama dan kerjasama antara Proton dan Perodua dan bukan satu proses yang mudah," katanya.

Secara jelasnya, katanya banyak berlaku penggabungan dan adalah masuk akal bagi kedua-dua syarikat untuk bekerjasama dan menjadikan industri automotif kompetitif.
Adalah dilaporkan sebelum itu bahawa kerajaan telah memberi isyarat mengenai keperluan bagi dilakukan penggabungan di dalam industrri automotif, terutama antara Proton dan Perodua. - BERNAMA