SELEPAS tiga tahun di pasaran, model Proton Saga mendapat sentuhan terbaru yang menampilkan varian yang lebih bergaya dan dinamik bagi kenderaan kategori sedan.
Proton Holdings Bhd (Proton) memperkenalkan Saga FL itu selaras selepas model berkenaan mendapat sambutan memberangsangkan masyarakat di negara ini.
Model berkenaan tampil dengan ciri tambahan iaitu dilengkapi beg udara penumpang depan, audio pemain MP3, USB dan AUX, kawalan audio pada stereng serta tingkap elektrik untuk penumpang belakang. Bahagian luaran turut berwajah baru dengan rekaan lampu utama yang garang dan jeriji depan dipadankan dengan palang krom.
Sementara itu, bahagian belakang dipadankan lampu brek LED, bampar serta muncung ekzos baru sekali gus menjadikannya kemas dan ringkas.
Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata perbezaan harga antara Saga terdahulu dengan versi FL antara RM1,000 hingga RM1,300.
Menurutnya, penghasilan Saga FL itu bagi memberikan kepuasan kepada pengguna dengan menghasilkan model terbaru yang lebih baik. "Selain itu, kami turut mensasarkan menjual 6,500 unit model ini sebulan selepas kedudukannya menjadi kereta kedua paling laris di Malaysia dengan purata jualan 6,200 unit sebulan," katanya ketika pelancaran model itu di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini. Saga FL itu tampil dalam dua varian iaitu 1.3 Standard dan 1.3 Executive, masing-masing dengan transmisi automatik serta manual.
Harga bagi varian 1.3 Standard manual adalah RM37,998 seunit, manakala 1.3 Standard automatik pada RM40,998. Varian 1.3 Executive manual dijual pada harga RM40,698, manakala 1.3 Executive automatik pada RM43,298 seunit. Dua warna baru turut diperkenalkan bagi Saga FL iaitu Blue Rock dan Caffe Latte.